Explorer II

Panduan siang dan malam

Explorer ll

Bacaan masa 24 jam, penunjuk tarikh, paparan pendarkilau, kebolehpercayaan dan ketepatan dalam keadaan yang paling ekstrem.

Explorer II mempunyai kelebihan yang mustahak untuk menemani mereka yang menggali pengetahuan tentang dunia melalui penerokaan mereka di wilayah-wilayah terpencil.

Bezel Explorer II

Jarum 24 jam dan bezel
Paparan yang penting

Explorer II mempunyai jarum tengah jingga tambahan yang lebar dengan hujung berbentuk anak panah. Mengelilingi permukaan sekali setiap 24 jam, jarum ini menawarkan cara pembacaan masa yang berbeza menerusi paparan pada senggatan bezel tetap yang diperbuat daripada Oystersteel.

Jarum ini juga membezakan antara waktu siang dan malam. Satu ciri penting bagi mereka yang masuk ke persekitaran yang sangat gelap seperti gua yang dalam atau tempat yang matahari tidak pernah terbenam seperti di kawasan kutub pada musim panas.

Paparan masa 24 jam tambahan juga membolehkan Explorer II menunjukkan zon waktu kedua.

Paparan Chromalight
Kuasa cahaya biru

Menerusi permukaan hitam atau putih yang kontras, Explorer II memiliki rupa anggun yang mudah dibaca dalam apa-apa keadaan.

Paparan Chromalight memberikan keterbacaan yang optimum tanpa mengira keadaan cahaya. Bahan pendarkilau yang disadur pada angka, penanda jam dan jarum bersinar putih terang pada waktu siang dan memancarkan cahaya biru pekat dalam keadaan gelap.

Paparan Chromalight

Paparan Chromalight yang eksklusif untuk Rolex dan diperkenalkan pada tahun 2008, telah dioptimumkan pada tahun 2021 untuk mengekalkan keamatan cahaya biru dengan lebih lama. Prestasi bahan pendarkilau ini ternyata melebihi standard yang diperlukan dalam proses pembuatan jam yang biasa.

Bahan ini terhasil daripada proses pembuatan yang kompleks dengan membakar serbuk yang amat halus – terdiri daripada pelbagai oksida logam – pada suhu tinggi dan kemudian dicampurkan dengan cecair resin. Jarum, angka dan penanda jam sama ada disalut atau diisi dengan bahan itu menggunakan tangan. Operasi ini memerlukan ketepatan yang tinggi untuk mencampurkan dos kuantiti bahan dengan sempurna dan mendapatkan hasil yang seragam yang memenuhi kriteria kecemerlangan Rolex.

Kanta Siklops
Paparan tarikh yang dioptimumkan

Explorer II memaparkan tarikh dalam tetingkap pada kedudukan pukul 3. Oleh itu, ciri ini menyediakan maklumat penting dalam situasi penerokaan apabila rujukan tarikh menjadi kabur.

Direka bentuk untuk meningkatkan keterbacaan tarikh menerusi kesan pembesaran, kanta Siklops merupakan lambang estetika dan juga teknikal jenama ini. Ciptaan Rolex ini yang dinamakan sempena gergasi mata satu dalam mitos Yunani, telah dipatenkan pada awal 1950-an dan diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 1953.

Kanta Siklops disempurnakan lagi oleh salutan antireflektif berganda. Sama seperti kristal jam tangan, kanta diperbuat daripada nilam, iaitu bahan yang betul-betul kalis calar.

Penutup Oyster
Penjaga yang kalis air

Explorer II mempunyai diameter 42 mm dan dipasang dengan penutup Oyster. Diperkenalkan oleh Rolex pada tahun 1926 dan dipatenkan, penutup Oyster ialah satu pencapaian besar dalam sejarah pembuatan jam tangan moden. Kerana adanya sistem yang menskrukan bezel, penutup belakang dan putaran jam pada penutup tengah, ini ialah penutup jam tangan kalis air yang pertama di dunia.

Dilengkapi dengan penutup tengah daripada Oystersteel yang menjalani pemesinan di bengkel Rolex, Explorer II dijamin kalis air hingga 100 meter (330 kaki), lantaran ujian ketat yang dijalankan sebagai sebahagian daripada pensijilan Kronometer Superlatif.

Penutup Oyster yang menjadi lambang keteguhan dan kekalisan air turut menyerlah kerana keanggunan yang seimbang sekali dari segi bentuk dan fungsi.

Penutup Oyster
Explorer II

Oystersteel
Aloi eksklusif

Jam tangan Explorer II boleh didapati dalam Oystersteel, iaitu aloi eksklusif yang tergolong dalam keluarga keluli 904L yang sering digunakan dalam persekitaran teknologi tinggi seperti industri ruang angkasa dan kimia.

Pada tahun 1985, Rolex menjadi jenama pembuatan jam pertama yang menggunakan blok keluli 904L padu untuk penutup tertentu.

Oystersteel sangat tahan terhadap kakisan dan memancarkan sinaran unik yang mengekalkan kilauan walaupun dipakai dalam persekitaran ekstrem.

Syot cantik Explorer II

Rantai Oyster dan pengancing Oysterlock
Keselamatan, keselesaan dan keteguhan

Dibangunkan pada akhir 1930-an, rantai Oyster ialah rantai logam asal bagi koleksi Oyster Perpetual. Dengan deretan pautan tiga keping, rantai ini menggabungkan keselesaan, keanggunan dan keteguhan.

Pada jam tangan Explorer II, rantai ini dilengkapi dengan pengancing keselamatan lipat Oysterlock untuk mengelak daripada terbuka.

Rantai Oyster ini juga dilengkapi dengan sistem sambungan cepat Easylink yang disepadukan ke dalam pengancing. Sistem ini membolehkan panjang rantai dilaraskan dengan mudah sebanyak kira-kira 5 mm dengan membuka dan mengancing pautan supaya lebih selesa.

Rantai Oyster

Kaliber 3285
Prestasi yang menjadi nadi mekanisme

Kaliber 3285
Explorer II dilengkapi dengan kaliber 3285, sebuah gerakan mekanikal automatik dengan rotor Perpetual yang dibangunkan dan dihasilkan sepenuhnya oleh Rolex.
Sebagai tanda kehebatan teknologi, gerakan ini mempunyai beberapa paten. Gerakan ini menawarkan prestasi yang menakjubkan dari segi ketepatan, autonomi, ketahanan terhadap kejutan, kemudahan dan kebolehpercayaan.
Bolosan Chronergy
Gerakan ini mengandungi bolosan Chronergy yang telah dipatenkan yang menggabungkan kecekapan tenaga yang tinggi dengan kebolehpercayaan yang hebat. Diperbuat daripada nikel-fosforus, kaliber ini tahan terhadap medan magnet yang kuat.
Pegas rambut Parachrom
Kaliber 3285 turut mengandungi pegas rambut Parachrom biru yang dihasilkan oleh Rolex dalam aloi paramagnet. Tahan terhadap kejutan dan medan magnet yang kuat, pegas rambut ini juga sangat stabil apabila terdedah kepada turun naik suhu.
Rotor Perpetual
Pengayun dipasangkan pada penyerap kejutan Paraflex berprestasi tinggi yang direka bentuk dan dipatenkan oleh Rolex, sekali gus meningkatkan rintangan kejutan pada gerakan. Lantaran seni bina barel dan kecekapan bolosan yang tinggi, rizab kuasa kaliber 3285 mampu bertahan hingga kira-kira 70 jam.