Datejust

Inovasi elegan

Datejust
Datejust 36

Memperlihatkan kepakaran Rolex

Lambang jam tangan Rolex klasik yang sempurna, Datejust yang asal mempamerkan segala pencapaian utama jenama itu, dengan gerakan kronometer yang diperakui, mekanisme automatik dan penutup kalis air, dilengkapi dengan paparan tarikh dalam tingkap khas pada permukaan jam. Sejak dicipta, jam ini terus berkembang, menawarkan pelbagai kemungkinan estetika serta merangkumi kepakaran Rolex.

Tarikh dan tingkap
Menghitung masa

Datejust mendapat nama daripada tingkap paparan tarikh pada bahagian permukaan. Sama seperti masa, tarikh secara tradisinya ditunjukkan dengan jarum pada lilitan permukaan. Pada tahun 1945, Datejust merupakan jam tangan kronometer kalis air automatik pertama yang memaparkan tarikh menerusi tingkap pada kedudukan pukul 3 pada permukaan. Sebelum menjadi standard pembuatan jam, paparan jenis ini dilihat sebagai satu kejayaan besar. Paparan ini berfungsi dengan memasang cakera 31 hari dan mekanisme pada kaliber yang membolehkan tarikh bertukar pada tengah malam.

Kanta Siklops

Kanta Siklops
Pembacaan optimum

Dicipta untuk meningkatkan keterbacaan tarikh, kanta Siklops melambangkan nilai estetika dan juga teknikal jenama ini. Ciptaan Rolex ini yang dinamakan sempena gergasi bermata satu dalam mitos Yunani, telah dipatenkan pada awal 1950-an dan ditampilkan buat kali pertama pada tahun 1953 pada Datejust. Kesan pembesaran oleh kanta ini menjadikan tarikh lebih mudah dibaca. Pada mulanya diperbuat daripada plexiglass, kanta ini kemudian dibuat daripada nilam sejak tahun 1970-an, sama seperti kristal jam tangan. Nilam yang bersifat tahan calar kini mempunyai dua kali ganda salutan antireflektif, lantas menjadikan kanta lebih berkesan.

Bezel
Ciri yang tersendiri

Licin, berjejalur, berkubah ataupun bertatahkan berlian, kepelbagaian bezel membolehkan Datejust mencerminkan keperibadian si pemakai. Bezel ialah salah satu ciri jam tangan yang paling ketara dan salah satu aspek yang paling melambangkan kepakaran Rolex. Oleh itu, bezel boleh dihiasi dengan berlian potongan cemerlang, dipilih sendiri oleh pakar bagi memastikan kilauan terhasil dengan cantiknya. Menjadi lambang Rolex yang ikonik, bezel berjejalur diperbuat daripada emas kuning 18 karat, putih atau Everose.

bayang
bezel-berjejalur-emas-putih
bayang
bezel-berjejalur-emas-kuning
bayang
halus-bezel
bayang
bezel-berlian

Rantai ikonik

Rantai Jubilee
Sempena sambutan ulang tahun ke-40 Rolex pada tahun 1945, rantai Jubilee direka khas untuk Datejust. Selanjar dan selesa, rantai logam dengan pautan lima keping ini menjadi identiti Datejust yang penting. Dilengkapi dengan Crownclasp atau Oysterclasp yang tidak kelihatan, rantai Jubilee menyemarakkan keanggunan model yang abadi. Datejust juga boleh didapati dengan rantai Oyster atau rantai President pada versi logam berharga.
Rantai Oyster
Dibangunkan pada hujung 1930-an, rantai logam teguh dengan pautan tiga keping ini kekal menjadi rantai yang paling universal dalam koleksi Oyster Perpetual. Hari ini, rantai Oyster tersedia pada semua model dalam koleksi, kecuali Day-Date; dalam barisan Datejust, rantai itu menampilkan Oysterclasp.
Rantai President
Dikeluarkan pada tahun 1956 selepas pelancaran Day-Date, rantai President kini dikhaskan untuk jam tangan berprestij ini serta model Datejust daripada logam berharga. Dilengkapi dengan Crownclasp tersembunyi, rantai pautan tiga keping ini mempunyai sisipan seramik yang dibangunkan dan dipatenkan oleh Rolex pada pautan itu untuk meningkatkan kelenturan dan ketahanan.
Rolesor

Rolesor
Gabungan aloi

Selama lebih daripada satu abad, emas dan keluli telah disatukan yang menyaksikan pertembungan antara kecanggihan dan kekuatan. Dicipta pada awal 1930-an, Rolesor ditampilkan secara eksklusif pada jam tangan Rolex dalam koleksi Oyster Perpetual. Konsepnya mudah: bezel, putaran jam dan penghubung bahagian tengah rantai tengah diperbuat daripada emas kuning atau Everose, manakala penutup tengah dan penghubung luar rantai diperbuat daripada Oystersteel. Pada model Rolesor putih pula, bezel diperbuat daripada emas putih. Gabungan unik ini merupakan salah satu ciri unik jenama.

Permukaan
Wajah tak terhingga

Dengan pelbagai jenis permukaan, Datejust menawarkan kombinasi paling pelbagai antara semua jam tangan Rolex. Bertatahkan berlian atau ibu mutiara, atau menampilkan kemasan sinar matahari, permukaan Datejust menawarkan aneka paparan yang tersedia dalam pelbagai jenis bahan, warna dan motif, dengan penanda jam yang berbeza (angka indeks, Rumi atau Angka) dan pelbagai susunan hiasan permata. Menggalas tanggungjawab utama untuk memartabatkan identiti dan kebolehbacaan jam tangan Rolex, semua permukaan dibangunkan secara dalaman bagi mendapatkan hasil yang optimum.

Permukaan hijau Datejust
Permukaan hijau

Gemologi
Proses pemilihan yang ketat

Rolex hanya menggunakan batu permata semula jadi dengan kualiti tertinggi, dipilih dengan teliti berdasarkan ketulenan, kejelasan dan keamatan. Apabila batu berharga diterima, protokol ujian yang ketat dijalankan, bergantung pada kepakaran ahli gemologi Rolex dan peralatan pengukuran yang khusus. Ini membolehkan pemilihan yang ketat dari segi potongan, dimensi, ketulenan, warna dan berat bagi semua batu permata.

Permukaan bunga

Tatahan permata
Sorotan

Penatahan permata membolehkan jam tangan dihiasi dengan batu permata menggunakan pelbagai teknik. Kepakaran unik penghias permata yang mengusahakan jam tangan Rolex begitu terkenal dalam memastikan keteguhan, penjajaran sempurna dan sinaran batu permata yang tiada tandingannya. Dengan tahap ketepatan yang dimiliki oleh tukang jam, mereka menyisipkan setiap batu berharga, satu demi satu, membuat susunan dan tatahan seperti yang dipersetujui oleh pereka.

Kaliber 3235

Kaliber 3235
Kepakaran yang tinggi

Gerakan mekanikal automatik yang dibangunkan dan dihasilkan sepenuhnya oleh Rolex, kaliber 3235 ditampilkan pada model termasuk Datejust 36 dan Datejust 41. Dengan 14 paten difailkan selepas dikeluarkan pada tahun 2015 termasuk inovasi bolosan yang hebat, Chronergy, gerakan ini menawarkan kelebihan asas dari segi ketepatan, rizab kuasa, kebolehpercayaan dan ketahanan terhadap kejutan dan medan magnet.