Cosmograph Daytona

Mengejar prestasi terbaik

Keindahan Cosmograph Daytona

Cosmograph Daytona telah dikaji semula sepenuhnya pada tahun 2023 untuk menggabungkan inovasi terbaharu kami yang dipatenkan.

Mekanismenya telah direka bentuk semula untuk meningkatkan prestasi dari segi ketepatan, keteguhan dan kebolehpercayaan. Kronometer Superlatif yang diperakui, Cosmograph Daytona terus menjadi penanda aras untuk kronograf automatik.

Cosmograph Daytona

Kaliber 4131
Gerakan kronograf paling superlatif

Kaliber 4131 ialah gerakan kronograf automatik yang menggabungkan semua pembangunan teknologi sebelumnya, kaliber 4130, di samping menerapkan beberapa penambahbaikan yang ketara. Dibangunkan dan dihasilkan oleh Rolex, gerakan baharu berprestasi tinggi baharu ini merangkumi dua mekanisme yang dipatenkan: Penyerap kejutan Paraflex yang melindungi pengayun daripada hentaman dan bolosan Chronergy yang menahan medan magnet yang tinggi serta mengurangkan kehilangan tenaga dengan ketara. Mekanisme putaran automatik juga bertahan lebih lama dengan adanya galas bebola yang dioptimumkan di dalam rotor Perpetual. Gerakan ini mendapat wajah baharu menerusi titi yang memaparkan perhiasan Rolex Côtes de Genève yang eksklusif. Sarat dengan penyelesaian teknikal yang inovatif dan dipatenkan, kaliber 4131 menetapkan standard kecemerlangan baharu dari segi keteguhan, kebolehpercayaan, kecekapan dan ketepatan.

Caliber 4131 juga telah disesuaikan untuk melengkapi versi Cosmograph Daytona yang dicipta sempena perlumbaan ketahanan 24 Jam di Le Mans. Dinamakan kaliber 4132, gerakan ini membolehkan fungsi kronograf dikira selama dua puluh empat jam – bukannya 12 jam seperti model biasa – melalui mekanisme tambahan yang dipatenkan.

Kaliber 4131

Penutup Oyster Cosmograph
Evolusi berterusan

Sejak tahun 1965, penolak yang diskrukan telah beransur-ansur menggantikan versi tanpa skru pada model asal, sekali gus meningkatkan kekalisan air penutup tersebut. Penolak memenuhi fungsi mula-henti dan ‘tetapkan semula kepada sifar’ bagi kronograf yang kelihatan serasi sekali dengan estetika model ini. Bahagian tepi penutup Oyster yang nipis diperindah dengan sinaran cahaya yang terhasil melalui teknik penggilapan yang disempurnakan secara berterusan. Pembangunan sehalus ini ialah bukti kepada usaha menghasilkan keanggunan yang tiada hentinya.

Putaran jam Triplock

Skala takimetri
Mengukuhkan gelaran legenda

Sebagai satu identiti utama Cosmograph Daytona, skala takimetri ialah senggatan yang membolehkan kelajuan purata hingga 400 kilometer atau batu sejam ditentukan menggunakan jarum detik tengah. Pengiraan dilakukan pada jarak tetap 1 kilometer atau 1 batu. Sejak Cosmograph dilahirkan pada tahun 1963, skala takimetri diletakkan pada bezel jam tangan. Pada versi yang dicipta bersempena perlumbaan ketahanan 24 Jam di Le Mans., nombor ‘100’ diisi dengan seramik merah. Setiap bahagian tepi bezel Cerachrom juga diperbuat daripada logam yang sama dengan penutup, justeru mempamerkan estetika yang diubah suai.

Skala takimetri

Rantai Oysterflex
Keselesaan menyeluruh

Selain rantai Oyster, Cosmograph Daytona versi emas 18 karat dengan bezel Cerachrom juga boleh didapati dengan rantai Oysterflex. Dibangunkan oleh Rolex dan dipatenkan, rantai ini secara unik menggabungkan ketahanan rantai logam dengan keselesaan rantai elastomer. Rantai ini terdiri daripada dua bilah logam melengkung yang fleksibel – satu dalam setiap bahagian rantai – dibentuk dengan elastomer hitam berprestasi tinggi. Untuk memberikan keselesaan optimum, rantai Oysterflex dilengkapi dengan pelapik di bahagian dalam dan pengancing keselamatan Oysterlock untuk mengelak daripada terbuka. Panjang rantai boleh dilaraskan melalui sistem sambungan Glidelock Rolex yang bijak.

Rantai Oysterflex

Logam dan penatahan permata
Aneka variasi

Cosmograph Daytona ialah cara yang ideal untuk meluahkan keperibadian anda. Selain Oystersteel, jam ini juga boleh didapati dalam beberapa logam berharga – emas kuning, emas putih dan emas Everose 18 karat. Aloi eksklusif ini terdiri daripada 750‰ (seperseribu) emas tulen dan campuran rahsia perak, tembaga dan paladium. Ini ialah hasil penyelidikan selama bertahun-tahun dan semuanya dituang di faundri Rolex. Cosmograph Daytona juga dicipta dalam versi platinum 950, serta versi dalam emas putih dan emas kuning 18 karat yang dilancarkan bersempena 24 Jam di Le Mans yang menayangkan kaliber menerusi penutup belakang nilam lut sinar. Ini membolehkan gerakan menonjolkan nilai estetika yang digarap semula: pemberat berayun terbuka diperbuat daripada emas kuning 18 karat manakala titi mempamerkan perhiasan Rolex Côtes de Genève yang ekslusif. Cosmograph Daytona juga melambangkan ketukangan manikam teragung, dengan versi mewah yang menampilkan bezel dan permukaan bertatahkan permata.