Selama bertahun-tahun, Submariner dan Submariner Date telah membuktikan bahawa ia cemerlang di darat, sama seperti di bawah air. Diguna pakai oleh personaliti dari pelbagai latar belakang, ia kekal sebagai jam tangan alat pilihan ramai penyelam dan penjelajah laut dalam, termasuk ahli alam sekitar, jurugambar dan pengarah. Rolex menyokong pemerhati tegar ini terhadap keindahan dan kerapuhan lautan sebagai sebahagian daripada Inisiatif Planet Abadinya.
Testimoni Rolex sejak tahun 2022
Titouan Bernicot
Menyelamatkan terumbu karang
Setelah menyaksikan kemerosotan terumbu karang di sekitar Mo'orea, pulau asalnya di Polinesia Perancis, Titouan Bernicot memutuskan untuk mengambil tindakan bagi menyelamatkan ekosistem uniknya. Pada tahun 2017, pada usia 18 tahun, beliau mengasaskan Coral Gardeners dengan tujuan untuk memulihkan terumbu karang, yang semakin mati akibat perubahan iklim. Organisasi itu, yang disokong oleh Rolex dan Inisiatif Planet Abadinya, telahpun memindahkan 100,000 karang. Coral Gardeners sedang membangunkan perkongsian dan mengeksport kaedah pemulihanya ke Fiji, Thailand, Indonesia, Panama dan Puerto Rico.
Jurugambar David Doubilet telah mendedikasikan hidupnya untuk lautan dengan merakam setiap aksi, ceritera dan keindahan yang terbentang di bawah permukaan air. Sebagai perintis dalam bidangnya, beliau memulakan kerjaya pada tahun 1962 semasa berusia 16 tahun, ketika fotografi bawah air masih pada peringkat awal. Lebih daripada 60 tahun, beliau telah menghabiskan kira-kira 27,000 jam di bawah air dan membangunkan teknik fotografi baharu. Sebagai saksi berterusan kepada keindahan dunia akuatik, dia meningkatkan kesedaran tentang keperluan mutlak untuk memelihara keajaibannya melalui karyanya. Gambar-gambar beliau menjadi salah satu wadah yang paling berkesan untuk menggalakkan usaha pemeliharaan dunia bawah air.
Sebelum beralih kepada fotografi, Cristina Mittermeier sudah pun menjadi ahli biologi yang bekerja dalam pemuliharaan laut. Foto-fotonya menyerlahkan hubungan antara manusia dan biodiversiti. Ia telah dipamerkan di banyak muzium, galeri dan festival dari Miami, Monaco dan New York ke Stockholm dan Santiago. Pengasas Liga Jurugambar Pemuliharaan Antarabangsa, beliau juga dikaitkan dengan Matlamat Pembangunan Mampan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai duta untuk Matlamat 14, yang didedikasikan untuk memulihara hidupan akuatik. Pada tahun 2014, bersama jurugambar Paul Nicklen, beliau mengasaskan SeaLegacy, sebuah organisasi yang meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan melindungi lautan dan menjana sokongan untuk tindakan konkrit yang sering diketuai oleh komuniti orang asli.
Jurugambar dan ahli biologi Kanada, Paul Nicklen menghabiskan zaman kanak-kanaknya di sebuah perkampungan Inuit di Wilayah Barat Laut Kanada. Sehingga hari ini, beliau mengekalkan minat yang mendalam terhadap landskap di Far North, dataran ais apung serta hidupan liar yang mendiaminya. Selama lebih 20 tahun, gambar-gambarnya telah merakam keindahan dunia liar zaman kanak-kanaknya. Ia menonjolkan kerapuhannya dalam menghadapi perubahan iklim, baik di kutub mahupun di lautan. Nicklen kembali dari penyelamannya dengan gambar-gambar yang sangat indah yang mengundang kami untuk mengambil tindakan untuk melindungi ekosistem kawasan ini. Sebagai seorang wartawan foto untuk National Geographic, beliau telah memenangi pelbagai anugerah berprestij termasuk Jurugambar Hidupan Liar BBC Terbaik Tahun ini.
Berikutan kejayaan Alienspada tahun 1986, James Cameron akhirnya memperolehi jam tangan yang diimpikannya selama bertahun-tahun: Submariner. Ia terbukti sebagai teman yang ideal untuk minatnya yang lain: meneroka dunia bawah air. Keghairahan inilah yang mendorongnya untuk terlibat secara mendalam dalam perjuangan melindungi lautan. Selepas kejayaan filemnya The Abyss pada tahun 1989, pengarah itu kembali ke kedalaman lautan dengan Titanic, yang dikeluarkan pada tahun 1997. Sudah pastilah beliau memakai Submariner nya di set. Di skrin, watak Brock Lovett, yang dilakonkan oleh Bill Paxton, memakai Submariner Date, alat yang sesuai untuk peranannya sebagai jurukamera-penyelam-pemburu-bangkai dalam karya agung ini yang telah menjadi sebuah sejarah perfileman.
Pada 26 Mac 2012, James Cameron mencipta sejarah apabila beliau sampai ke dasar Jurang Mariana, di kedalaman 10,908 meter (35,787 kaki) di bawah permukaan Lautan Pasifik. Ekspedisi DEEPSEA CHALLENGE yang penuh inspirasi ini membuka jalan ke arah era baharu dalam penerokaan saintifik di dasar lautan. Rolex berada di sisinya untuk perjalanan yang luar biasa ini.